Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Hal ini telah terkandung di dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar r.a. Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah. Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan.
Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat. Apabila bendera telah berkibar, orang yang melihatnya hendaklah memberitahunya kepada orang ramai. Ada juga yang mencadangkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi. Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasrani. Terdapat juga usul supaya dinyalakan api di atas bukit. Orang yang melihat api tersebut hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.
Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Nabi s.a.w. Kemudian, Umar bin al-Khattab mencadangkan agar diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul beliau ini telah diterima oleh Nabi s.a.w. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.
Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi tentang seorang lelaki yang datang kepadanya dengan membawa loceng. Abdullah memohon agar loceng itu dijual kepadanya. Pembawa loceng bertanya: “Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?”. Abdullah menjawab: “Kami akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat kepada orang ramai”. Apabila mendengar jawapan tersebut, pembawa loceng itu berkata: “Mahukah tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?”. Abdullah menjawab: “Itu baik sekali”. Lalu pembawa loceng itu berkata: “Kumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Nabi s.a.w. bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang kepada Nabi s.a.w. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti yang dialami oleh Abdullah bin Zaid.
Di sini jelas menunjukkan bahawa lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan lafaz-lafaz azan yang didengar oleh Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab dalam mimpi masing-masing. Namun begitu, mimpi-mimpi tersebut bukanlah menjadi dasar pensyariatan azan kerana secara kebetulan lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan mimpi kedua-dua orang sahabat tadi. Sandaran azan bukan sahaja melalui mimpi bahkan ia diperkuatkan lagi dengan penerimaan wahyu. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa:
“Nabi s.a.w. pada malam isra’ telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.
Menurut pendapat jumhur ulama’, terdapat beberapa adab dan tertib dalam melaksanakan azan. Antaranya ialah:
1. mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya.
2. mu’azzin harus suci daripada hadath kecil, hadath besar dan najis.
3. mu’azzin hendaklah menghadap qiblat ketika mengumandangkan azan.
4. ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.
5. mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya.
6. suara mu’azzin hendaklah nyaring.
7. mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan.
8. orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.
9. setelah selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa: “Allahumma rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati Muhammadan al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah” yang bermaksud “wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya” (Riwayat Bukhari).
Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa kelebihan dan mendapat pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu.”
(Riwayat Muttafaq `Alayh)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.”
(Riwayat Bukhari)
Dalam sebuah hadith yang lain ada disebut:
“Tukang azan adalah orang yang paling panjang leher di Hari Akhirat.”
(Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)
Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’ Syafi`i dan Hanbali, azan beserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi Imam. Ini disebabkan Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada Allah dan beramal salih.”
(Surah Fussilat: 33)
`A’isyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah tukang azan”. Di dalam hadith lain ada juga menyebut:
“Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imiam-imam dan ampunilah tukang azan”.
(Riwayat Syafi`i, Ahmad, Abu Dawud,Tirmizi,
An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)
Amanah lebih tinggi daripada daman dan keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak masa. Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi imam adalah lebih baik daripada azan kerana Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifahnya menjalankan tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.
Watch This Video:
SUMBER RUJUKAN:
- Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.
- Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.
- Ensiklopedia Islam, Jilid 1, Cetakan Pertama 2004, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Susunan Drs. H.A. Hafizah Dasuki dll.
- Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar, Jilid 1, Cetakan Pertama 2003, Terbitan Era Visi Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, Susunan Shafie Abdul Rahman dll.
- Fiqh & Perundangan Islam, Jilid 1, Cetakan Ketiga 1997, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain dll.
0 comments:
Post a Comment